ASHA 2026-2030 Pacu Sistem Kesihatan ASEAN Lebih Kukuh Dan Berdaya Tahan - Dzulkefly
KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- ASEAN akan memperkukuh sistem kesihatan serantau, meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan dan mempertingkatkan tindak balas kolektifnya terhadap ancaman kesihatan yang baru muncul di bawah Agenda Kesihatan Strategik ASEAN (ASHA) 2026-2030, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata pelan hala tuju lima tahun itu, yang menetapkan keutamaan bersama bagi Negara-Negara Anggota ASEAN, akan menumpukan pada usaha merapatkan jurang pembangunan sambil membina sistem kesihatan yang lebih kukuh dan berdaya tahan di seluruh rantau ini.
“Rantaian kelangsungan hidup hanya sekuat rantaiannya yang paling lemah, justeru memperkukuh setiap peringkat penting untuk menjamin rantau yang berdaya tahan dan sihat,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran ASHA 2026-2030 di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab.
Dzulkefly, yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-17, berkata agenda itu berpusat pada empat teras Kluster Kesihatan ASEAN iaitu mempromosikan gaya hidup sihat dan mencegah penyakit tidak berjangkit; bertindak balas terhadap semua bahaya dan ancaman kesihatan awam baharu; memperkukuh sistem kesihatan dan akses kepada penjagaan kesihatan; dan memastikan keselamatan makanan.
Beliau berkata Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, telah meletakkan penekanan yang kuat untuk memastikan keutamaan kesihatan serantau diterjemah kepada tindakan konkrit dan pelaksanaan yang berkesan.
Sementara itu, dalam ucapan pembukaannya pada majlis pelancaran itu, Dzulkefly berkata ASHA 2026-2030 mewakili lebih daripada sekadar dokumen dasar, menyifatkannya sebagai komitmen kolektif ASEAN kepada lebih 600 juta penduduknya untuk membina rantau yang lebih sihat dan berdaya tahan.
Beliau berkata agenda itu dibangunkan melalui rundingan menyeluruh yang melibatkan pegawai kanan dan pakar teknikal dari Negara-Negara Anggota ASEAN, bermula dengan Mesyuarat dan Bengkel Pembangunan Kolektif pada bulan April, diikuti oleh Mesyuarat Khas Pegawai Kanan mengenai Pembangunan Kesihatan (Mei) dan Mesyuarat Pegawai Kanan mengenai Pembangunan Kesihatan (SOMHD) ke-20 (Jun).
Dzulkefly berkata pencapaian sasaran agenda itu menjelang 2030, akan memerlukan kemahuan politik yang tidak berbelah bahagi dan kerjasama rentas sektor yang lancar.
“ASEAN mesti memecahkan tembok pengasingan (silo) dan membina sinergi yang diperlukan bagi memastikan tiada komuniti di rantau ini yang ketinggalan,” katanya.
Dzulkefly turut menjelaskan mengenai Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Malaysia, yang mengintegrasikan laluan penjagaan untuk tuberkulosis (batuk kering), penyakit pulmonari obstruktif kronik dan kanser paru-paru, disokong oleh saringan dibantu AI di seluruh negara, untuk mengalihkan penjagaan kesihatan daripada pendekatan reaktif “penjagaan sakit”, kepada pengesanan awal yang proaktif.
“Kami mengalu-alukan rakan-rakan Negara Anggota ASEAN untuk meneroka dan mengadaptasi model ini, pada ketika kita bersama-sama berusaha ke arah sistem kesihatan yang lebih kukuh dan berdaya tahan di seluruh rantau kita,” katanya.
Beliau berkata Malaysia juga menantikan penyerahan Buku Panduan Penyakit Jarang Jumpa, yang direka bentuk sebagai sumber praktikal untuk memudahkan perkongsian amalan terbaik dan memperkukuh kerjasama serantau.
Buku panduan itu akan menyokong penyelarasan yang lebih baik, perkongsian pengetahuan dan akses yang lebih saksama kepada diagnosis, penjagaan serta rawatan bagi penghidap penyakit jarang jumpa di seluruh rantau ini.
-- BERNAMA
