M360 ASEAN Mampu Rapatkan Perbezaan, Pacu Masa Depan Digital Bersama - Fahmi
KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Persidangan M360 ASEAN boleh menjadi platform serantau bagi kerajaan dan pemain industri yang mempunyai pendirian berbeza untuk berbincang serta mencari titik persamaan dalam usaha memacu masa depan digital ASEAN, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata Malaysia berada pada kedudukan unik untuk menyatukan pelbagai pihak berkepentingan yang mungkin mempunyai pandangan bertentangan, seperti dapat dilihat daripada kepelbagaian rakan kerjasama dan penaja industri yang menyertai acara berkenaan.
“Namun, menerusi acara anjuran GSMA ini, kita semua dapat berbincang secara matang dan mencari jalan penyelesaian bersama,” katanya dalam ucapan pembukaan pada persidangan M360 ASEAN 2026 di sini hari ini.
Fahmi berkata persidangan itu diharap dapat menjadi wadah kepada kerajaan, badan kawal selia dan pemain industri dalam mendepani peluang serta cabaran yang muncul seiring transformasi digital di rantau ini.
“Saya percaya M360 ASEAN mampu menyediakan ruang untuk kita bertemu, bertukar fikiran, berbahas dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian,” katanya.
Beliau turut berharap kerjasama yang terjalin menerusi acara itu dapat membawa kemakmuran bersama, sambil menyatakan bahawa usaha membina masa depan ASEAN yang dikongsi bersama akan memberi manfaat luas kepada masyarakat di seluruh rantau ini.
“Malaysia bukan sekadar menawarkan pasaran, tetapi juga perkongsian. Pendekatan kita adalah untuk menguji penyelesaian berdasarkan keperluan sebenar, menilai keberkesanannya serta membangunkan model praktikal yang turut relevan melangkaui sempadan negara,” katanya.
Menyentuh prospek digital ASEAN, Fahmi berkata pelaksanaan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) secara berkesan berpotensi melonjakkan ekonomi digital serantau kepada USD2 trilion menjelang 2030.
Bagaimanapun, beliau berkata potensi itu tidak akan tercapai dengan sendirinya memandangkan pasaran digital yang tidak bersepadu, jurang akses serta kekurangan kepercayaan digital boleh menjadi penghalang kepada pelaburan dan pertumbuhan, selain menyebabkan sesetengah komuniti ketinggalan.
“Ukuran sebenar kejayaan ialah sama ada aspirasi serantau ini dapat diterjemahkan kepada peluang yang nyata di seluruh ASEAN,” katanya.
Fahmi menegaskan bahawa usaha memperluas keterangkuman digital perlu seiring dengan langkah keselamatan yang kukuh, selain kepercayaan menjadi asas penting bagi membolehkan rakyat menggunakan perkhidmatan digital dengan yakin dan perniagaan membuat pelaburan.
“Kepercayaan bukan penghalang kepada inovasi. Sebaliknya, ia merupakan asas yang membolehkan rakyat mengambil bahagian dengan selamat, perniagaan membuat pelaburan dan perkhidmatan digital berkembang secara mampan,” katanya.
M360 ASEAN 2026 yang dianjurkan GSMA pada 9 dan 10 Sept menghimpunkan menteri, badan kawal selia serta pemimpin industri untuk membincangkan kepercayaan digital, kecerdasan buatan (AI), infrastruktur berdaya tahan dan integrasi digital serantau.
Acara yang julung kali diadakan di rantau ASEAN dan Malaysia itu mendapat sokongan Kementerian Komunikasi, dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai rakan penganjur.
-- BERNAMA
