Malaysia Perkukuh Kehadiran Dalam Pasaran China Di CAEXPO 2026
KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Malaysia dijangka memperkukuh penglibatan dagangannya di China menerusi penyertaan 67 syarikat Malaysia pada Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-23 2026, dalam usahanya memanfaatkan peluang perdagangan yang semakin berkembang dan memperluas akses pasaran bagi pengeksport.
Penyertaan Malaysia itu diselaraskan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi acara yang akan berlangsung dari 17 hingga 21 Sept di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Nanning (NICEC) di Guangxi, China.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Indera Abu Bakar Yusof berkata CAEXPO menyediakan platform secara langsung kepada pengeksport Malaysia untuk berinteraksi dengan pembeli utama, mendalami perubahan permintaan pengguna serta meletakkan tawaran bernilai tinggi secara strategik.
“Melalui CAEXPO 2026, MATRADE kekal komited untuk membantu perusahaan tempatan menterjemahkan interaksi ini kepada hasil komersial yang nyata dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut MATRADE, penyertaan itu turut membolehkan syarikat Malaysia berhubung dengan pembeli, pengedar dan rakan niaga, selain memperkukuh keterlihatan serta daya saing mereka dalam pasaran China dan ASEAN.
China merupakan rakan dagang tunggal terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut sejak 2009, sekali gus memperlihatkan kepentingan strategik pasaran itu terhadap pertumbuhan perdagangan dan eksport Malaysia.
Aktiviti perdagangan antara China dan ASEAN terus mencatat momentum kukuh dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026.
Perdagangan dengan China meningkat 33.4 peratus kepada RM391.60 bilion, dengan eksport meningkat 24.3 peratus kepada RM127.87 bilion.
Sementara itu, perdagangan dengan ASEAN berkembang 23.7 peratus kepada RM552.23 bilion, didorong peningkatan eksport sebanyak 20.3 peratus kepada RM315.67 bilion, kata MATRADE.
-- BERNAMA
