Putin Pertimbang Hadiri Sidang Kemuncak ASEAN, Timbalan PM Sah Wakili Rusia – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama pada Forum Ilmu PNB 2025. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
21/10/2025 02:35 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Presiden Rusia Vladimir Putin sedang mempertimbangkan untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN yang akan datang, namun setakat ini hanya Timbalan Perdana Menteri negara itu disahkan mewakili Rusia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata Putin sebelum ini menyatakan minat untuk hadir ke sidang kemuncak berkenaan ketika pertemuan mereka di Beijing baru-baru ini, namun tiada pengesahan muktamad dibuat setakat ini.

“Kami telah menghantar jemputan kepadanya (Putin). Beliau memaklumkan kepada saya di Beijing bahawa beliau akan mempertimbangkannya secara serius. Namun buat masa ini, beliau akan menghantar Timbalan Perdana Menteri sebagai wakil. Kita akan tahu keputusan akhirnya hari ini sama ada beliau akan hadir atau tidak.

“Saya berpendapat kehadirannya agak tidak mungkin buat masa ini, tetapi beliau menunjukkan minat untuk hadir. Jadi, kita tunggu dan lihat. Secara rasmi, hanya Timbalan Perdana Menteri disahkan hadir setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ilmu PNB 2025 di sini hari ini.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini, dengan penyertaan pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.

Sidang kemuncak itu dijangka menjadi acara terbesar dalam sejarah penganjurannya sejak diadakan buat kali pertama pada 1976.

-- BERNAMA