Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47: Anwar, Trump Bincang Isu Perdagangan, Keamanan Serantau Dan Krisis Gaza
KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenai isu dua hala dan global utama semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini.
Anwar berkata pertemuan itu memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin memperkukuh hubungan Malaysia-Amerika Syarikat, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, selain membincangkan isu antarabangsa mendesak termasuk situasi di Gaza serta usaha keamanan serantau.
“Kami telah berhubung melalui telefon sebanyak dua kali. Beliau sangat mesra, menyokong dan mendengar dengan baik. Saya mahu menggunakan peluang ini bukan sahaja untuk mempertahankan kepentingan Malaysia dalam perdagangan dan pelaburan, tetapi juga untuk menyuarakan pandangan saya mengenai perkara yang baik untuk Malaysia, Amerika Syarikat dan dunia.
“…termasuk isu berkaitan Gaza. Saya menghargai usaha beliau -- walaupun ada pandangan berbeza, kita harus mengiktiraf hakikat bahawa Trump telah memainkan peranan besar dalam menghentikan sekurang-kurangnya pengeboman di Gaza.
“Tetapi cabaran kita kini ialah memastikan keamanan dan keadilan dapat ditegakkan serta hak dan aspirasi sah rakyat Palestin dihormati,” katanya semasa sesi perbualan selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Ilmu PNB 2025 di sini, hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat kekal kukuh walaupun terdapat perbezaan dasar dari semasa ke semasa, memandangkan kedua-dua negara mempunyai hubungan ekonomi dan diplomatik yang mendalam.
Beliau berkata Malaysia terus mengamalkan dasar luar yang seimbang dan berprinsip dengan mengekalkan persahabatan serta kerjasama dengan semua kuasa besar termasuk China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
“Ini Malaysia, ini ASEAN, dasar kita berasaskan kepusatan ASEAN. Kita rapat dengan China dan teguh di rantau ini, namun pada masa sama mengekalkan hubungan tradisional dengan Amerika Syarikat.
“Sebagai negara dagang, kita terus memperluas hubungan bukan sahaja dengan Eropah, Asia dan Amerika, tetapi juga dengan Amerika Latin dan Afrika Selatan.
“Itulah sebabnya, buat pertama kali dalam rangka kerja ASEAN, kita akan menerima kehadiran Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa,” katanya.
Dalam masa yang sama, Anwar berkata Malaysia melihat sidang kemuncak itu sebagai peluang untuk memperkukuh kerjasama global di bawah rangka kerja ASEAN, yang terus berperanan sebagai platform dialog dan kolaborasi antara ekonomi utama dunia.
Presiden Amerika Syarikat turut memaklumkan pada Isnin bahawa beliau akan mengadakan lawatan ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan, sambil menyatakan hasrat untuk mengekalkan hubungan baik dengan China, lapor Kyodo News.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini, dengan penyertaan pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.
-- BERNAMA