KunKwan Diiktiraf ASEAN Records, Antara Institusi Pendidikan Bahasa Paling Berpengaruh
KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Pusat Latihan Bahasa Mandarin Dalam Talian Antarabangsa Kunkwan disenaraikan dalam ASEAN Records bagi mengiktiraf pencapaian melatih hampir 450,000 pelajar sejak 2014.
Kunkwan dalam kenyataan memaklumkan pengiktirafan itu menjadikan mereka antara institusi pendidikan bahasa paling berpengaruh di Asia Tenggara.
“Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kunkwan Kent Ng Kun Kwan turut meraikan kejayaan berganda tahun ini selepas dinobatkan sebagai seorang daripada Sepuluh Orang Muda Cemerlang di Dunia, mewakili Malaysia di pentas antarabangsa sebagai usahawan cemerlang pada Ogos lepas.
“Di bawah kepimpinannya, Suara Semua Carnival edisi kesembilan telah berlangsung dengan jayanya pada 19 Okt lepas, menarik 60 peserta dalam pusingan saringan, dan akhirnya 11 finalis dari negara-negara ASEAN mara ke peringkat akhir,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ng dalam kenyataan sama berkata semangat karnival berkenaan sejajar dengan peribahasa Melayu ‘tak kenal maka tak cinta’ apabila mengenali membawa kepada kasih sayang.
Beliau berkata kejayaan Suara Semua Carnival yang kini memasuki tahun kesembilan adalah bukti kepada semangat pertukaran budaya dan integrasi serta ketabahan sejak awal penganjuran.
“ASEAN muda, aman dan penuh bertenaga. Saya percaya ASEAN adalah masa depan. Tanggungjawab Kunkwan ialah menyatukan semua suara untuk benar-benar menjadi ‘Suara Semua,” katanya.
Pertandingan akhir Suara Semua Carnival dimenangi seorang pelajar wanita berusia 19 tahun dari Indonesia, yang baharu tiba di Malaysia untuk melanjutkan pelajaran menerusi persembahan nyanyian lagu Cina.
Naib juara dan tempat ketiga masing-masing dimenangi peserta berbangsa Melayu dari Malaysia yang menyanyikan lagu Thai serta Filipina.
-- BERNAMA