Kuih-muih Tradisional, Nasi Lemak Bungkus Jadi "Duta" Sidang Kemuncak ASEAN
Oleh Samantha Tan
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Aroma nasi lemak dan kuih-muih tradisional Malaysia menyambut kehadiran delegasi yang menghadiri mesyuarat menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan bermula esok hingga 28 Okt ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Inilah kuasa lembut Malaysia yang mana diplomasi tidak semestinya berlaku di meja rundingan, sebaliknya ia juga boleh bermula dengan “diplomasi makanan” melalui sebungkus nasi lemak dan sekeping kuih.
Ketika sidang dan perbincangan dasar sedang berlangsung, Parkview Cafe di Aras 1 KLCC menjadi ruang para delegasi menikmati secawan kopi dan mencipta memori baharu yang pastinya akan menjadi kenangan manis.
Setiausaha Bahagian Sekretariat Logistik Utama ASEAN (SILA), Kementerian Luar Nuryante Mohd Yazid berkata konsep yang diketengahkan ialah memberi keselesaan dan rasa keakraban kepada tetamu melalui juadah tradisional Malaysia.
Ketika ditemui Bernama hari ini, beliau berkata inisiatif itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh promosi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), produk tempatan serta memperkenalkan budaya dan identiti Malaysia.
Nuryante menjelaskan bahawa kali ini, menu tradisional Malaysia dipelbagaikan selepas menerima maklum balas positif daripada penganjuran Sidang Kemuncak ke-46 pada Mei lepas.
"Dulu (ketika Sidang Kemuncak ke-46) cuma lima jenis kuih dihidangkan, sekarang tujuh atau lapan. Antaranya tepung bungkus, kuih cara, kuih kacang. Yang paling menarik adalah nasi lemak bungkus daun pisang yang sinonim dengan sarapan rakyat, jadi kami mahu delegasi menikmatinya.
Pada penganjuran terdahulu, nasi lemak juga dihidangkan cuma gaya hidangan kali ini dibuat dalam bentuk bungkus daun pisang agar lebih menarik dan memberi pengalaman baharu kepada para delegasi antarabangsa," katanya.
Nuryante berkata dua pencuci mulut klasik Malaysia iaitu air batu campur (ABC) dan cendol kekal dalam menu di Parkview Cafe selepas menerima sambutan hangat daripada para delegasi pada penganjuran sebelumnya.
Selain itu, beliau berkata para delegasi juga disajikan aiskrim tempatan, Inside Scoop dengan beberapa perisa menerusi kolaborasi kreatif seperti perisa roti Twiggies daripada Gardenia, Spanish Latte daripada Zus Coffee dan perisa coklat daripada Beryl's.
Sementara itu pegawai Kedutaan Thailand Wiyaporn Chooyok berkata waktu rehat untuk minum paginya bertukar kepada pengalaman kemesraan layanan Malaysia yang tidak dapat dilupakan, terutamanya dengan sebungkus nasi lemak yang menarik perhatiannya.
“Ia pedas dan lazat. Di Thailand, makanan kami juga pedas, tetapi yang ini (nasi lemak) adalah seimbang antara rasa manis dan pedas. Saya sukakannya,” katanya.
Bagi wakil Timor-Leste Natalia Sarmento, beliau mendapati rasa yang biasa dirasainya dalam makanan tradisional Malaysia.
“Ia sedap dan sangat bagus,” katanya sambil tersenyum ketika mencuba kuih talam gula Melaka.
Sarmento berkata beliau merasa gembira apabila mendapati bagaimana tidak jauh bezanya juadah kedua-dua negara.
“Kami ada juadah serupa tetapi di Timor-Leste makanan kami mempunyai lebih pengaruh Portugis dan Indonesia. Kerana itulah makanan Malaysia seperti biasa dirasai, ia mengingatkan saya kepada tempat asal saya,” katanya.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober, yang menghimpunkan pemimpin daripada kesemua 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.
Sidang kemuncak kali ini dijangka menjadi perhimpunan ASEAN terbesar sejak penubuhan organisasi itu pada 1967, mencerminkan peranan serantau yang semakin penting serta minat global yang meningkat terhadap peranan strategik ASEAN.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menggalas tugas sebagai Pengerusi ASEAN selepas mempengerusikannya pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
