Sidang Kemuncak Ke-47: Finland Sertai TAC ASEAN
By Nursyabiha Sukri dan Nur Atiq Maisarah Suhaimi
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Finland secara rasmi menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), menjadikannya negara ketiga menyertai perjanjian itu di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Penyertaan Finland menjadikan keseluruhan 58 negara menyertai perjanjian itu, selepas Algeria serta Uruguay pada Julai lepas sekali gus memperkukuh peranan ASEAN sebagai jambatan kerjasama antara wilayah dan benua.
Finland yang diwakili oleh Menteri Luar Elina Valtonen memeterai komitmen rasmi negara itu di luar sesi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, dan turut hadir ialah menteri-menteri luar negara anggota dan Timor-Leste serta Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Ditubuhkan pada 1976, TAC mengandungi prinsip sejagat mengenai kewujudan bersama secara aman dan kerjasama dalam kalangan negara anggota, yang berperanan sebagai kod yang mengikat secara sah antara negara di Asia Tenggara serta meluaskan pengaruhnya melangkaui rantau berkenaan.
Negara yang menyertai perjanjian itu termasuk kuasa besar dunia seperti China, Amerika Syarikat, Rusia dan Kesatuan Eropah.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt.
-- BERNAMA
