Suara ASEAN Perlu Jelas Di Tengah-Tengah Ketidaktentuan Global - Mohamad Hasan

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hadir pada Mesyuarat Bersama Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
25/10/2025 06:17 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- ASEAN mesti bersuara dengan jelas dan bersatu ketika rantau ini berdepan persaingan global yang semakin sengit dan keadaan ekonomi yang tidak menentu, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bercakap pada Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN hari ini, beliau berkata perbincangan dalam mesyuarat itu menegaskan tekad rantau ini untuk bertindak secara kohesi dalam menangani perubahan besar dalam persaingan kuasa global, penyusunan semula rantaian bekalan dan jurang antara teknologi, keselamatan dan ekonomi yang semakin kabur.

Mesyuarat berkenaan diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula esok hingga 28 Okt.

“Sebagai blok ekonomi kelima terbesar di dunia, ASEAN tidak boleh berada dalam kekaburan. Kita perlu bersuara dengan jelas dan bersatu. Suara yang memperjuangkan keterbukaan, sifat berkecuali dan kemakmuran jangka panjang di rantau ini,” katanya.

Mohamad menegaskan bahawa fahaman perlindungan dan persaingan kuasa besar menghakis multilateralisme, justeru ASEAN perlu kekal teguh terhadap kepentingan strategik yang berteraskan Kepusatan ASEAN.

“Implikasinya amat luas dan ketara. Fahaman perlindungan terus meningkat. Multilateralisme semakin tertekan. Keputusan ekonomi kini sering dipengaruhi oleh kepentingan strategik, bukan semata-mata faktor komersial,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata dalam menghadapi realiti baharu ini, pendekatan ASEAN mestilah jelas, koheren dan kohesi.

Sambil menegaskan komitmen blok berkenaan terhadap aturan serantau yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan, Mohamad menyeru dialog dan kerjasama, bukannya konfrontasi untuk memelihara kestabilan.

Dalam pada itu, beliau menekankan tentang Visi ASEAN 2045 sebagai pelan tindakan yang berwawasan untuk mencapai keseimbangan strategik, menggalakkan dialog dan membina kepercayaan supaya Asia Tenggara kekal sebagai platform kerjasama antara semua negara rakan.

“ASEAN menyedari bahawa perdagangan dan pelaburan tidak lagi terasing daripada gelora geopolitik. Ekonomi yang saling bergantungan boleh menjadi sumber kerentanan dan kestabilan,” katanya.

Mohamad berkata tugas blok berkenaan adalah untuk memastikan kesalingbergantungan itu menjadi jambatan kerjasama, bukannya satu kaedah paksaan.

“Sehubungan dengan itu, ketika kita mengeratkan hubungan dengan rakan tradisional, kita juga perlu mempelbagaikan dan memperluas penglibatan ekonomi, membentuk kerjasama baharu yang dapat meningkatkan daya tahan dan daya saing ASEAN,” katanya.

Mengakui bahawa geopolitik dan geoekonomi kini saling berkait, Mohamad berkata mesyuarat bersama menggesa agar penyelarasan dasar yang lebih besar dilakukan merentasi bidang diplomasi dan ekonomi.

“Oleh itu, ASEAN mesti memecahkan silo dan bertindak secara bersama untuk menyediakan barisan hadapan yang bersatu dan strategik.

 “Marilah kita sampaikan mesej yang teguh dan bersatu bahawa ASEAN bukan pemerhati pasif dalam dunia hari ini, tetapi kuasa proaktif yang memperjuangkan kestabilan, keterbukaan dan keamanan,” katanya.

Sesi bersama yang dipengerusikan oleh Mohamad dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bertujuan memperkukuh koordinasi antara agenda luar dengan ekonomi ASEAN.

-- BERNAMA