ASEAN Perlu Guna Sidang Kemuncak Perkukuh Hubungan Global, Pelbagai Ekonomi - Munir Majid

Tan Sri Dr Munir Majid
25/10/2025 06:05 PM

Oleh Nurul Hanis Izmir

PUTRAJAYA, 25 Okt (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bakal bermula esok di Kuala Lumpur perlu menjadi platform untuk memperdalam hubungan rantau ini dengan rakan global serta memperluas rangkaian perdagangan dan pelaburan di tengah-tengah ketidaktentuan global yang berterusan, kata Pengerusi CARI ASEAN Research and Advocacy Tan Sri Dr Munir Majid.

Beliau berkata rundingan yang dijangka diadakan antara Naib Perdana Menteri China He Lifeng dan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Scott Bessent di luar sidang kemuncak itu membawa implikasi besar terhadap kestabilan serantau, kerana sebarang penambahbaikan dalam hubungan AS-China boleh membantu mengurangkan kesan gangguan akibat ketegangan perdagangan terhadap ekonomi ASEAN.

“Sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai satu bentuk persefahaman yang munasabah melalui rundingan ini serta pertemuan yang dirancang antara Presiden China Xi Jinping dan Presiden AS Donald Trump semasa Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2025 di Korea Selatan minggu depan, maka semua mesyuarat anjuran ASEAN ini tidak lagi akan dilihat sekadar sebagai perbincangan kosong,” katanya kepada Bernama.

Munir berkata ASEAN perlu melangkaui persaingan kuasa besar semasa untuk membentuk kerjasama ekonomi baharu sambil memastikan kesinambungan inisiatif serantau daripada kepengerusian Malaysia kepada Filipina dan Singapura dalam tahun-tahun akan datang.

Beliau menegaskan bahawa kepelbagaian adalah kunci penting bagi memastikan tarif dikenakan Trump tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan di ASEAN.

“Malaysia telah memulakan langkah awal sebagai Pengerusi ASEAN, dan momentum ini mesti diteruskan,” katanya.

Munir turut menggesa agar sinergi diwujudkan antara Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) untuk memperkukuh daya tahan perdagangan kolektif ASEAN, di samping memperluas hubungan dengan rantau seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Amerika Latin, Afrika, Kesatuan Eropah dan Eurasia.

“Kerjasama dengan semua negara yang komited terhadap multilateralisme, perdagangan terbuka dan sistem berasaskan peraturan amat penting. China-ASEAN 3.0 akan menjadi batu asas kepada masa depan ekonomi rantau ini, namun kita tidak boleh terlalu naif untuk berfikir bahawa segalanya akan berjalan lancar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Munir turut memuji kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, menggambarkannya sebagai pencapaian bersejarah dan peluasan pertama blok itu sejak Kemboja menyertai pada 1999.

Beliau berkata walaupun kehadiran Trump dijangka menjadi tumpuan utama, ASEAN tidak boleh teralih daripada misi lebih besar untuk mengekalkan keamanan dan kemakmuran rantau ini.

“Trump mungkin ingin dikreditkan sepenuhnya atas pemeteraian perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand selepas konflik sempadan mereka. Namun kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN dalam merealisasikan gencatan senjata, mengekalkannya, dan seterusnya mengusahakan perjanjian damai wajar diberi pengiktirafan yang setara, jika tidak lebih tinggi,” tegasnya.

Munir berkata meskipun tekanan dan ugutan Trump mungkin telah memaksa kedua-dua pihak bertolak ansur, kerja utama sebenarnya dilakukan oleh ASEAN di bawah kepimpinan Malaysia, membuktikan bahawa blok itu mampu mencapai hasil positif walaupun dalam isu politik dan keselamatan yang rumit.

Dalam satu taklimat bersama pengarang media tempatan dan antarabangsa baru-baru ini menjelang sidang kemuncak, Anwar ditanya sama ada beliau bimbang jumlah pertemuan dua hala antara AS dan China akan menenggelamkan sidang itu.

Perdana Menteri menjawab bahawa beliau akan berasa gembira sekiranya terdapat kemajuan dalam rundingan antara China dan AS.

“Mengapa kita perlu melihatnya sebagai bayangan negatif? Jika ada kemajuan atau kejayaan dalam rundingan antara China dan AS, saya akan berasa gembira, dan rakyat Malaysia sepatutnya berbangga.

“Ia akan sangat membantu kita sebagai negara perdagangan apabila dua kuasa ini bersahabat. Kita tidak harus berfikiran sempit; meskipun ini mesyuarat serantau, dunia memerlukan kemajuan,” katanya.

Berhubung Laut China Selatan, Munir menggesa ASEAN dan China mempercepatkan rundingan mengenai Kod Tatakelakuan (CoC) yang tertangguh lama, dengan harapan kemajuan dapat dicapai di Kuala Lumpur atau pada sidang kemuncak tahun depan di Manila.

“Sudah 23 tahun sejak Deklarasi Kod Tatakelakuan ditandatangani. Membiarkan isu ini berlarutan hanya akan membuka ruang kepada ketidakstabilan di rantau ini.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan satu suruhanjaya pendamaian dalam ASEAN atau Forum Serantau ASEAN (ARF) yang dianggotai sepenuhnya oleh ahli ASEAN dan China. Kita perlu kreatif untuk memecahkan kebuntuan ini,” katanya.

Munir yakin ASEAN akan terus menunjukkan kepimpinan, kematangan dan perpaduan dalam mengemudi persekitaran global yang semakin tidak menentu.

“ASEAN mesti membuktikan bahawa ia mampu mengurus keamanannya sendiri, memperdalam integrasi ekonomi dan berpegang teguh pada prinsip kerjasama serta keterangkuman,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibahagikan kepada dua sesi iaitu Sesi Pleno dan Sesi Pemukiman.

Sesi Pleno turut akan disertai tetamu Pengerusi ASEAN, iaitu Perdana Menteri Kanada, Presiden Majlis Eropah dan Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Dalam Sesi Pleno itu, para pemimpin ASEAN akan menumpukan perbincangan kepada isu pembinaan Komuniti ASEAN serta hubungan luarnya, termasuk langkah memperdalam integrasi serantau, merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan keterhubungan ASEAN.

Bagi hubungan luar pula, para pemimpin akan membincangkan usaha memperkukuh perpaduan dan kepusatan ASEAN serta memperteguh komitmen blok itu terhadap sistem pelbagai hala berasaskan peraturan dalam landskap global yang sentiasa berubah.

Sidang kemuncak ini menandakan kemuncak Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 sebelum Filipina mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN seterusnya pada 1 Jan 2026.

Majlis penyerahan rasmi kepengerusian ASEAN dari Malaysia kepada Filipina akan diadakan pada 28 Okt.

-- BERNAMA