Dasar Perlindungan AS Jadi Desakan Segera Kepada EU Dan ASEAN Perbaharu Hubungan Dua Hala

25/10/2025 06:10 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Pendirian dasar perlindungan Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan tarif yang meningkat dengan rakan dagang menjadi desakan segera kepada Eropah dan ASEAN untuk memperbaharu hubungan ekonomi dua hala serta membawa jaringan perdagangan dan pelaburan kepada tahap lebih tinggi.

Duta Kesatuan Eropah (EU) ke ASEAN Sujiro Seam berkata berdasarkan perkembangan perdagangan global kini tidak lagi seperti biasa, langkah terbaik ialah kedua-dua rantau mengurangkan kebergantungan kepada AS bagi mengimbangi pendekatan Washington itu.

“Justeru itu, kita perlu mempelbagaikan kerjasama. Selain itu, EU juga bersetuju supaya kita menumpukan 87 peratus pasaran global yang bukan AS,” katanya kepada Bernama menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan minggu depan, yang turut merangkumi Sidang Kemuncak ASEAN-EU.

Seam berkata pendekatan itu adalah penting memandangkan kedua-dua pihak berpegang kepada prinsip perdagangan pelbagai hala serta berusaha mengelak risiko perpecahan ekonomi.

Tumpuan juga harus diberikan kepada pasaran domestik masing-masing, termasuk meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, katanya.

Sebelum ini, hubungan antara Washington dan Brussels agak tegang susulan pelaksanaan tarif umum sebanyak 20 peratus oleh Presiden Donald Trump kepada EU.

Namun kemudiannya AS dan EU mencapai perjanjian perdagangan pada Julai, untuk mengehadkan kadar tarif ke atas EU kepada paras lebih sederhana sebanyak 15 peratus.  

EU kini mempunyai jumlah pengguna seramai 744 juta orang, manakala populasi ASEAN berjumlah 680 juta. Perdagangan intra-EU mencatat antara 60 hingga 70 peratus daripada jumlah keseluruhan, bagaimanapun, bagi ASEAN hanya antara 20 hingga 25 peratus, kata Seam.

“Ini menunjukkan masih banyak ruang untuk meningkatkan integrasi pasaran ASEAN itu sendiri,” katanya.

Mengenai kebimbangan berkenaan piawaian alam sekitar dan kemampanan EU mungkin menjadi halangan perdagangan bagi pengeksport ASEAN, Seam berkata peraturan tersebut bertujuan mewujudkan persaingan saksama di pasaran tunggal Eropah.

“EU adalah pasaran bersepadu yang merangkumi 27 negara anggota dengan menggunakan satu set peraturan sejak 1957.

“Piawaian sama terpakai kepada perniagaan Eropah serta pengeksport dari seluruh dunia. Sama ada minyak sawit, penyahhutanan atau mekanisme sempadan karbon, semuanya perlu dipatuhi secara saksama,” kata beliau.

Seam berkata peraturan tersebut mungkin bagi sesetengah pengeksport melihatnya sebagai satu halangan, bagaimanapun, ia diwujudkan untuk memudahkan perdagangan serta memastikan ketelusan rantaian bekalan global.

“Jika anda merupakan pengeksport Malaysia dan ingin menjual di mana-mana pasaran dunia, anda harus mematuhi peraturan tersebut. Begitu juga dengan EU, bezanya, ia mempunyai set standard yang sama untuk 27 negara,” kata beliau.

-- BERNAMA