Penyertaan Finland Dalam TAC Jambatan Hubung Asia Tenggara Dengan Eropah
Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi dan Nursyabiha Sukri
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Penyertaan Finland dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) bukan sekadar formaliti diplomatik, tetapi menjadi jambatan yang menghubungkan antara Asia Tenggara dengan Eropah melalui nilai bersama, kepercayaan serta visi bersama untuk tatanan antarabangsa yang berasaskan peraturan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata penyertaan terbabit juga memperlihatkan keterbukaan ASEAN untuk memperkukuh kerjasama dengan negara yang sehaluan, yang berkongsi aspirasi sama untuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran.
“Finland membawa kepakaran dan pengalaman yang luas kepada kerjasama ini, dibentuk oleh sejarahnya, institusi yang kukuh serta reputasi global dalam inovasi, kemampanan dan berdaya tahan,” katanya pada majlis penandatanganan dokumen penyertaan Finland ke dalam TAC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau berkata kerjasama baharu berkenaan membuka peluang luas untuk kolaborasi antara ASEAN dan Finland, khususnya dalam bidang utama seperti transformasi digital, pembangunan mampan dan kerjasama maritim.
“Kerjasama seumpama itu bukan sahaja memperkukuh kesepakatan kita, tetapi juga meluaskan usaha pembinaan komuniti ASEAN di luar Asia Tenggara, menyatukan aspirasi kita dengan aspirasi Eropah dan seluruh dunia,” katanya.
Selaku Pengerusi ASEAN, Mohamad menegaskan sokongan Malaysia terhadap penyertaan Finland dan mengulangi komitmen ASEAN untuk memastikan TAC terus kekal sebagai asas bagi dialog konstruktif serta keamanan serantau.
Beliau berkata Malaysia dan negara anggota ASEAN mengalu-alukan penyertaan Finland ke dalam TAC dengan semangat keharmonian, keterangkuman, saling menghormati serta persahabatan yang berkekalan.
Sementara itu, Menteri Luar Finland Elina Valtonen berkata penyertaan Helsinki dalam perjanjian ASEAN mencerminkan aspirasi negara itu yang lebih luas untuk memperkukuh keterlibatan dengan Asia Tenggara.
Beliau berkata dengan menjadi ahli TAC, Finland mengulangi komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap prinsip kerjasama aman, saling menghormati dan kesamarataan kedaulatan negara, yang merupakan nilai teras dalam dasar luar ASEAN dan Finland.
“Detik ini menandakan satu pencapaian penting dalam hubungan Finland dengan ASEAN dan negara anggotanya,” katanya berucap pada majlis penandatanganan dokumen penyertaan itu.
Valtonen turut memuji kecekapan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam mengemudi badan serantau itu, yang ditonjolkan menerusi visi, pragmatisme serta komitmen yang teguh terhadap keterangkuman dan kemampanan, selari dengan keutamaan Finland.
“Dalam situasi ketidaktentuan geopolitik pada masa ini, apa yang penting ialah penggalakan dialog, pembinaan kepercayaan, penyelesaian pertikaian secara aman serta penghormatan terhadap kesamarataan kedaulatan negara. Finland berbangga menjadi sebahagian daripada komuniti negara yang mengutamakan diplomasi berbanding pertelagahan serta kerjasama berbanding konfrontasi,” katanya.
Beliau berkata Finland melihat potensi besar kerjasama dengan ASEAN dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat bersama termasuk ekonomi kitaran, ekonomi biru, transformasi digital serta pendidikan.
“Kami menantikan peluang untuk menyumbang secara konstruktif kepada visi ASEAN bagi mewujudkan rantau yang aman, makmur dan berdaya tahan. Semoga penandatanganan ini (TAC) bukan sahaja sekadar simbol persahabatan, tetapi juga menjadi asas kukuh bagi kerjasama dan perkongsian pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, Finland secara rasmi menyertai TAC, menjadikannya negara ketiga menyertai perjanjian itu di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Penyertaan Finland menjadikan keseluruhan 58 negara menyertai perjanjian itu, selepas Algeria serta Uruguay pada Julai lepas, sekali gus memperkukuh peranan ASEAN sebagai jambatan kerjasama antara wilayah dan benua.
Finland yang diwakili Valtonen memeterai komitmen rasmi negara itu di luar sesi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan disaksikan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan turut hadir ialah menteri-menteri luar negara anggota dan Timor-Leste serta Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
-- BERNAMA
