Kehadiran Pemimpin Dunia Di Sidang Kemuncak ASEAN Serlahkan Pengaruh Malaysia - Penganalisis

25/10/2025 10:07 PM

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Kehadiran ramai pemimpin dunia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 mencerminkan pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap kemahiran diplomasi dan kredibiliti Malaysia sebagai kuasa pertengahan, kata penganalisis.

Menurut penganalisis, penyertaan pemimpin daripada ekonomi utama termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Brazil, Afrika Selatan, Itali, Korea Selatan dan New Zealand menggariskan keyakinan global terhadap keupayaan Malaysia untuk menghimpunkan pelbagai rakan kongsi dan memupuk dialog bermakna pada masa ketidaktentuan geopolitik kini.

“Ia adalah bukti kedudukan Malaysia sebagai kuasa pertengahan, sebagai negara yang mempunyai populasi yang agak kecil berbanding negara di seluruh dunia namun kadang kala mampu memainkan peranan dalam isu tertentu,” kata Ketua Pusat Pengajian Politik, Sejarah dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Nottingham-Malaysia Dr Benjamin Barton kepada Bernama.

Barton berkata adalah penting bagi Malaysia dan ASEAN untuk tidak cepat berpuas hati dan perlu terus mengeratkan hubungan dengan rakan kongsinya dan pihak lain sambil merancang masa depan.

“Mesejnya adalah boleh ada dunia di mana perbezaan wujud dan hidup bersama dan perbezaan itu boleh diuruskan melalui diplomasi," katanya

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, bermula 26 hingga 28 Okt ini, dijangka menjadi yang terbesar sejak 1976, dengan perbincangan memfokuskan pada perdagangan, integrasi digital, pertumbuhan mampan dan kestabilan serantau.

Pengarah Kajian Dasar dan Keselamatan Luar Negeri di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia Thomas Daniel berkata kehadiran pemimpin global utama pada sidang kemuncak itu memberikan peluang kepada Malaysia untuk menempa laluan ke arah kerelevanan dan pertumbuhan berterusan ASEAN.

“Tema kepengerusian ini, 'Keterangkuman dan Kemampanan' sangat berpandangan ke hadapan. Malaysia menghantar mesej bahawa rantau ini harus bergerak ke hadapan bersama-sama untuk menjadi efektif di peringkat serantau dan diambil serius di peringkat global," katanya.

Pakar geostrategi Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Dr. Azmi Hassan berkata kehadiran yang ramai juga menyerlahkan kredibiliti peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN.

“Jemputan itu jelas mempunyai impak, bukan sahaja sebagai pengerusi tetapi sebagai perdana menteri Malaysia dan dipandang tinggi oleh pemimpin asing. Saya fikir itulah sebabnya mengapa mereka memilih untuk menghadiri sidang kemuncak ini," katanya.

Beliau berkata pemimpin yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN sebagai ahli atau tetamu dijangka terlibat dalam perbincangan berkaitan perdagangan, integrasi digital, pertumbuhan dan kestabilan serantau yang bakal menjadi tumpuan utama.

Penglibatan sedemikian mempunyai manfaat yang ketara untuk Malaysia dan rantau ini, kata Azmi. 

ASEAN merupakan blok ekonomi kelima terbesar di dunia di belakang Amerika Syarikat, China, Jepun dan Jerman serta diunjurkan menjadi blok keempat menjelang 2030. Ini adalah kali kelima Malaysia mempengerusikan kumpulan serantau itu.

-- BERNAMA